Boleh dikatakan setiap kali ujian UKCG diadakan, setiap kali itulah saya menerima banyak pertanyaan tentang cara ataupun tips untuk lulus ujian UKCG ini.
Di atas sebab itu, saya akan kongsikan kepada anda beberapa tips penting untuk lulus ujian UKCG. Terdapat empat perkara perlu anda beri perhatian jika anda nak lulus ujian pada kali ini.
Tips Lulus Ujian UKCG
Untuk membantu anda melepasi tapisan ini, saya akan berkongsi beberapa tips untuk lulus ujian UKCG ini.
Tips ini dikumpul berdasarkan pemerhatian saya dalam ujian sepanjang 12 bulan yang lalu. Ambil kira maklum balas daripada pemohon yang berjaya dan tidak berjaya itu sendiri.
- Kena konsisten dalam jawapan.
- Kena jadi diri sendiri
- Kena tahu skop jawatan.
- Kena jawab secara jujur.
1. Kena Konsisten
Pemerhatian saya ialah ramai calon ujian boleh membezakan antara soalan positif dan negatif, tetapi tidak dapat memilih jawapan secara konsisten. Sesetengah calon tidak tahu apa itu konsistensi.
Jadi apa sebenarnya konsistensi?
Konsistensi ini berkait rapat dengan sikap seseorang. Selalunya jawapan calon ini bercanggah kerana menjawab secara tidak ikhlas atau cuba menipu.
Sebagai contoh, tiga soalan berikut digunakan untuk menguji sejauh mana pendirian seseorang calon. Sama ada tetap dalam pendirian ataupun tidak.
Soalan 1. Guru yang bersifat lemah lembut, walaupun tegas, adalah sukar untuk mengawal disiplin muridnya.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Kurang Setuju
D. Tidak Setuju
E. Sangat Tidak Setuju
Soalan 2. Sifat lemah lembut seseorang guru wanita yang cekap pula sesuai mengajar sekolah lelaki.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Kurang Setuju
D. Tidak Setuju
E. Sangat Tidak Setuju
Soalan 3. Guru yang sering dibuli oleh murid adalah kerana guru yang bersifat penyayang.
A. Sangat Setuju
B. Setuju
C. Kurang Setuju
D. Tidak Setuju
E. Sangat Tidak Setuju
Melihat kepada tiga soalan ini, terdapat dua sikap yang cuba dicungkil melalui soalan ini. Tips untuk lulus ujian UKCG ialah anda harus memastikan bahawa pendirian soalan 1, soalan 2, dan soalan 3 sentiasa selari antara satu sama lain.
Bagaimana jika soalan 1, soalan 2 dan soalan 3 bercanggah antara satu sama lain?
Jika jawapan banyak bercanggah, ini menunjukkan bahawa terdapat unsur tidak jujur ketika seseorang calon itu menjawab soalan.
Dalam psikologi, karakter penipu ini tidak mempunyai pendirian tetap, yang menjadikan mereka mudah dikesan.
2. Kena Jadi Diri Sendiri.
Selain daripada konsisten dalam pilihan jawapan, tips seterusnya untuk lulus ujian UKCG ialah anda perlu menjadi diri sendiri.
Dalam pemerhatian saya, ramai calon menjawab ujian UKCG cuba menjadi orang lain semasa menjawab soalan. Mereka tidak yakin dengan perwatakan diri mereka sendiri.
Maklum balas daripada pengambil ujian UKCG sendiri, mereka kata ujian UKCG ini mudah dan ada yang mengatakan mereka boleh menjawab semua soalan dalam masa 15 minit.
Sesetengah calon pula memberitahu saya, soalan ujian UKCG ini membuatkan mereka pening. Soalan ini seolah-olah cuba nak menggagalkan mereka.
Jika anda jadi diri anda sendiri, mudah bagi anda untuk menjawab ujian ini. Ini disebabkan kesemua soalan hanyalah minta pendapat peribadi sahaja. Pendapat anda tentang diri anda.
Ujian UKCG ini bakal memeningkan anda apabila anda cuba menjadi orang lain.
Pada ketika ini, soalan ujian UKCG menjadi lebih sukar, seolah-olah anda cuba mentafsir personaliti orang lain. Soalan di bawah ini adalah contoh soalan yang dapat ‘mengumpan’ calon daripada menjadi diri mereka sendiri.
Soalan 4. Ada masanya saya akan mengumpat.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 5. Ada masanya saya juga bercakap bohong.
A. Ya
B. Tidak
Soalan 4, 5 dan soalan 6 boleh diumpamakan sebagai, ditelan mati emak, diluah mati bapa bagi kesemua calon psikometrik.
Mereka nak jawab secara jujur takut gagal disebabkan memang jelas soalan tu bersifat negatif. Mereka nak menipu pun rasa serba salah disebabkan manusia normal memang akan buat perkara tu.
Ramai calon terperangkap dengan soalan seperti ini. Akibatnya, pendirian mereka dalam setiap soalan saling bercanggahan antara satu sama lain.
Dari sudut pihak KPM, dengan mudah mereka boleh nampak kecelaruan identiti dalam jawapan seseorang calon. Tak hairanlah kenapa ramai yang gagal ujian ini.
3. Kena Tahu Skop Kerja Jawatan
Apa yang saya perasan dalam ujian psikometrik sebelum ini, ada sesetengah calon yang menduduki ujian ini sekadar nak mencuba-cuba nasib mereka sahaja.
Kalau ada rezeki, dapatlah lulus ujian ini. Kalau tak lulus, tahun depan boleh cuba lagi.
Bila dapat panggilan ujian, perkara pertama yang mereka cari adalah contoh soalan. Apa skop kerja jawatan itu tidak penting bagi mereka.
Apa yang penting bagi mereka ialah bagaimana contoh soalan dan apa jawapan paling tepat untuk soalan-soalan itu.
Sepatutnya, perkara pertama yang perlu mereka lakukan ialah kena pastikan adakah sesuatu jawatan pendidik itu sesuai dengan karakter diri mereka ataupun tidak. Sebab tak semua orang ada kebolehan untuk menjadi pendidik.
4. Kena Jawab Secara Jujur
Salah satu salah faham terbesar dalam ujian UKCG ialah calon mempercayai ujian ini menguji keupayaan mereka untuk menilai sikap positif dan negatif.
Sebenarnya tak macam tu. Tujuan ujian UKCG adalah untuk mendapatkan data personaliti calon. KPM boleh merujuk kepada keputusan SPM sekiranya mereka ingin tahu tahap kepandaian calon.
Tapi bagaimana nak tahu personaliti sebenar calon?
KPM tidak mempunyai data untuk mengetahui personaliti calon. Atas sebab inilah ujian UKCG ini dijalankan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan data personaliti calon sama ada memenuhi kriteria seorang pendidik ataupun tidak.
Di bawah adalah soalan yang menguji tahap kejujuran calon UKCG dalam menjawab soalan.
Soalan 8. Saya mengajukan soalan dalam majlis dialog yang diadakan.
A. Sangat Kerap
B. Kerap
C. Tidak Pasti
D. Kadang-Kadang
E. Tidak Pernah
Sesetengah calon tidak pernah menjejakkan kaki sekalipun dalam majlis dialog seumur hidup mereka. Tapi disebabkan mereka ingin tonjolkan diri mereka ini konon-kononnya bersifat positif, mereka sanggup untuk bersetuju dengan soalan 8 ini.
Mereka terlupa soalan UKCG ini saling berkaitan antara satu sama lain. Cuba anda lihat soalan 9 di bawah, soalan ini digunakan sebagai alat untuk mengesahkan jawapan calon pada soalan 8.
Soalan 9. Saya cenderung meluahkan apa yang terkandung dalam fikiran saya dan berkongsi idea dengan orang lain.
A. Sangat Kerap
B. Kerap
C. Tidak Pasti
D. Kadang-Kadang
E. Tidak Pernah
Soalan 8 dan soalan 9 saling berkait antara satu sama lain disebabkan soalan ini mempunyai penilaian yang sama. Jika anda cuba berlaku tidak jujur, jawapan anda nanti saling bercanggah. Itu seperti menjerat leher sendiri untuk gagal dalam ujian ini.
Semoga Bermanfaat
Saya harap dengan berkongsi tips untuk lulus ujian UKCG ini, saya dapat membantu anda membuat persediaan untuk ujian ini nanti.
Pss.. saya ada sediakan 300 soalan UKCG, berserta dengan huraian jawapan. Setiap soalan ada karakter ‘special’ cuba dicungkil, saya kongsikan apakah karakter itu kepada anda.
Sila klik butang di bawah untuk download.